Nov 28, 2013

RESEPI DAGING STEAK GRILL

BAHAN-BAHAN

Daging lembu/kambing/ayam           6 potong saiz sederhana/besar (potong berkeping macam steak)
kicap masin                                     3 sudu
serbuk lada hitam                            3 sudu
herba rosemary                               1 sudu
garam                                             secukup rasa

CARA-CARA MEMBUATNYA

1) Masukkan daging dalam bekas/mangkuk.
2) Masukkan semua bahan ke dalam mangkuk dan gaulkan bersama daging.
3) Perapkan daging selama 1 jam (simpan dalam peti sejuk dan tutup dengan aluminium foil atau penutup bekas.
4) panaskan kuali dengan sedikit minyak zaitun.
5) panggang daging yang sudah diperap tadi sehingga masak/ separuh masak (jika nak halfcook).
6) sedia dimakan bersama sos gravy :-)

RESEPI BAKED POTATO

BAHAN-BAHAN 
(UNTUK HIDANGAN 4 ORANG MAKAN)

5 biji kentang (saiz sederhana/besar) dibasuh bersih dan dipotong 4/6.
(Nak buang kulit atau tidak terpulang. Janji kentang sudah dibasuh bersih.)

2 ulas bawang putih dicincang halus.

1 biji bawang besar (potong membulat)

2 sudu minyak zaitun / 1 sudu butter

½ sudu lada hitam (terpulang samada nak bubuh atau tidak)

Garam secukup rasa

CARA-CARA MEMBUATNYA:


  1. Rebuskan kentang sehingga isinya hampir lembut.
  2. Tos kan dan letak di tepi.
  3. Panaskan kuali dan masukkan 2 sudu minyak zaiton / 1 sudu butter.
  4. masukkan bawang putih yang telah dicincang tadi.
  5. masukkan kentang yang sudah direbus tadi.
  6. kemudian, masukkan bawang besar dan kacau sehingga masak.
  7. taburkan serbuk lada hitam dan garam secukup rasa.
  8. kalau nak sedap lagi, taburkan cheddar cheese yang diparut di atas bake potato itu ketika dihidangkan.
  9. siap dan sedia untuk dimakan!

Resepi sos black pepper gravy cara ummunizar


BAHAN-BAHAN
(UNTUK HIDANGAN 4 ORANG MAKAN)

2 sudu tepung gandum
1 kiub ayam atau ½ cawan stok ayam/daging
2 cawan air (tuang 1 cawan dulu, kalau terlalu pekat, baru tambah air lagi)
3 sudu minyak zaitun / 2 sudu butter (saya guna minyak zaitun sebab lebih sihat)
1 sudu serbuk lada hitam (kalau suka pedas, tambah lagi 1 sudu)
½ sudu kicap


CARA-CARA MEMBUATNYA :


  1. Panaskan kuali.
  2. masukkan 3 sudu minyak zaitun / 2 sudu butter.
  3. tunggu minyak/butter panas, kemudian masukkan 2 sudu tepung gandum.
  4. gorengkan tepung sehingga warna kekuningan.
  5. masukkan 1 cawan air secara sedikit demi sedikit dan kalau sehingga tepung dan air sebati. (Jika nampak terlalu pekat, tambahkan air lagi).
  6. masukkan 1 kiub ayam / ½ cawan stok ayam/daging. Kacau sebati.
  7. kemudian, masukkan ½ sudu kicap dan 1 sudu serbuk lada hitam.
  8. kacau sehinggga masak. (anggaran masa 5-6 minit).
  9. tuang dalam mangkuk yang sesuai untuk dihidangkan.
  10. siap untuk dimakan!

Nov 26, 2013

PORNOGRAFI.. ‘VIRUS’ IMAN PALING BERBAHAYA




Saya tertarik dengan salah satu kajian penyelidikan yang dibuat oleh Dr Donald L. Hilton. Beliau merupakan seorang pakar neorologi (pakar bedah saraf) di Neurosurgical Associates of San Antonio (NASA), USA. Kajian beliau adalah berkenaan dengan kesan ketagihan menonton pornografi terhadap system fungsi otak manusia. Walaupun beliau bukanlah dari kalangan Muslim (saya mendoakan agar beliau mendapat hidayah Allah swt untuk memeluk Islam), namun beliau amat mengambil berat tentang masalah ‘sosial’ ini. Saya cuba tulis sedikit sebanyak isi penulisan beliau yang sempat saya baca.

Semoga kita dapat mengambil ikhtibar dengan membaca dan menghayatinya dengan sebaik mungkin. Dan kepada mereka-mereka yang masih ketagih dengan bahan-bahan pornografi dan lucah agar dapat bertemu dengan jalan keluar dari masalah itu. Ini kerana pornografi tidak kira dalam bentuk gambar mahupun video, sangat berleluasa dan amat mudah didapati dalam internet sekarang ini. Ianya terlalu terbuka dan terdedah hinggakan siapa pun termasuk kanak-kanak boleh melayarinya. Wabak ini sudah terlalu kronik dan sekiranya berterusan, ia akan menjadi satu virus perosak manusia terutamanya bagi ummat Islam (ummat Nabi Muhammad SAW)
Dalam tulisan kajiannya, Dr. Donald L. Hilton mengatakan bahawa ketagihan pornografi mengakibatkan otak bahagian tengah depan yang disebut Ventral Tegmental Area (VTA) secara fiziknya mengecil.
Pornografi menimbulkan perubahan tetap pada neorotransmiter dan melemahkan fungsi kawalan. Ini yang akan mengakibatkan individu-individu yang sudah ketagihan tidak mampu mengawal perilakunya. Perubahan pada neorotansmiter otak juga mengakibatkan gangguan pada sistem memori otak yang mana ia tidak berlaku secara tiba-tiba, namun apabila setiap kali ketagihan berlaku, otak akan ditanda dengan tindakan impulsive, ekskalasi ketagihan meningkat dan penurunan perilaku serta fungsi memori otak akan terjejas. Ini mengakibatkan individu itu mudah lupa, sukar untuk mengingat sesuatu perkara dan kesan jangka panjang adalah boleh mengakibatkan Alzheimer apabila usia semakin meningkat. Dan kerosakan otak akibat ketagihan pornografi adalah yang paling berat, lebih berat dari ketagihan kokain (dadah).
Terdapat beberapa kesan secara langsung dan tidak langsung pornografi kepada system otak kita:
1. Pornografi memberi santapan 'keinginan mata' dan 'keinginan nafsu' yang tidak akan pernah dapat dipuaskan. Pornografi hanya akan membuat ‘penontonnya’ minta ditambah, tambah, dan tambah lagi. Dengan kata mudah, pornografi memperbodohkan orang dengan nafsunya sendiri dan membuka pintu terhadap segala jenis sifat negatif seperti mudah marah, bercakap kasar, melakukan pembohongan, sifat iri hati, sikap suka memaksa meninggikan keegoan diri.
2. Pornografi membuat cara berfikir seseorang itu menjadi penuh dengan seks semata. Fikiran seks akan menguasai alam bawah sedar mereka. Gambar berbau seks akan melekat pada otak mereka, sehingga pada ketika seseorang memutuskan untuk berhenti melihat pornografi pun, gambar-gambar yang pernah dia lihat dimasa lalu akan bertahan sampai beberapa tahun bahkan selama-lamanya.
3. Pornografi akan menjadi medium untuk mempraktikkan amalan seksual yang menyimpang. Contohnya, laman porno internet biasanya terhubung dengan laman porno yang lebih progresif seperti homoseks, pornografi kanak-kanak, seks dengan haiwan (bestiality), perkosaan, seks dengan kekerasan dan sebagainya. Ini akan mengakibatkan orang-orang tertentu terganggu secara mental dan tercabar untuk mencubanya. Dengan demikian, semakin banyaklah perilaku seks menyimpang dalam masyarakat.
4. Pornografi membuat seseorang itu untuk lebih suka melayani diri sendiri berbanding dengan orang lain. Masturbasi/onani adalah salah satu contohnya. Ini adalah tindakan memuaskan nafsu peribadi yang dapat membuat seseorang sukar untuk menerima dan memberi cinta yang sebenar-benarnya pada orang lain. Pornografi biasanya akan mengakibatkan orang ketagihan untuk melakukan masturbasi/onani.
5. Pornografi akan menjadikan seseorang individu itu menggunakan waktu dan kewangan dengan sangat tidak teratur dan terancang. Sedikit waktu terluang samada waktu bekerja mahupun dirumah akan digunakan untuk menonton pronografi dan memuaskan nafsu mereka. Mereka menjadi tidak bijak menguruskan hal peribadi dan keluarga mereka dengan baik.
6. Dengan sering melayari laman porno atau membeli filem/majalah porno, individu tersebut sebenarnya secara tidak langsung telah membantu perkembangan industri pornografi yang dikelolakan oleh organisasi yang terancang dan mencari wang secara haram. Mereka mempergunakan para wanita, kanak2 yang kebiasaannya menjadi mangsa pornografi ini.
7.  Ketagihan pornografi akan merosakkan hubungan orang tersebut dengan sekelilingnya, dalam hal ini keluarga atau orang-orang terdekatnya.
8. Dalam banyak kes, pornografi membuat seseorang kehilangan daya kerjanya. Yang sebelumnya aktif dan kreatif boleh menjadi tidak fokus dalam pekerjaan.
9. Pornografi dapat merosak hubungan seksual dengan pasangan kerana terbiasa membayangkan orang lain dalam hubungan seksual.
10. Melihat pornografi akan membuat seseorang itu sering bercakap bohong. Ini kerana individu ketagihan ini akan menyimpan sifat ketagih tersebut sebagai rahsia.
11. Pornografi akan membuatkan seseorang itu mempercayai semua penipuan yang ditawarkan oleh pornografi itu sendiri.
Contoh penipuan tersebut ialah :
·         Kebebasan seksual = kebahagiaan.
·         Penyimpangan seksual = normal.
·         Bila-bila saja melampiaskan keperluan seksual = wajar.
·         Setiap hari masturbasi = sihat.
·         Pornografi = tidak menyakiti siapa pun.
·         Bintang porno = orang paling bahagia di dunia.
·         Dan pelbagai lagi imaginasi penipuan..
Itu merupakan diantara kesan-kesan apabila seseorang itu ketagihan melihat pornografi. Na’uzubillahi min zalik..semoga kita dilindungi daripada perbuatan tidak elok itu. Bagi yang mengalami gejala ini, saya nasihatkan, berusahalah untuk berhenti daripada terus membuat dosa. Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penerima Taubat. Anda boleh lakukan yang terbaik untuk diri anda. Sayangilah diri anda dan orang yang berada di sekeliling anda..Ingatlah bahawasanya Agama Islam melarang keras melihat aurat dan kemaluan orang lain.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Tidak boleh seseorang lelaki melihat aurat lelaki lainnya, dan tidak boleh seorang wanita melihat aurat wanita lainnya" [Hadits shahih. Riwayat Muslim, Abu Dawud, Tirmidzi, Ahmad dan Ibnu Majah, dari Abu Sa'id Al-Khudriy radhiyallahu "anhu]
Dan Islam bukan sahaja melarang dari berzina, tetapi menghampiri zina pun sudah dilarang. Ini kerana perbuatan menghampiri zina (contohnya menonton pornografi) pun banyak mendatangkan keburukan dari kebaikan.
“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (membawa kerosakan)” (Surah Al-Israa' : Ayat 32)
"Dan orang-orang yang memelihara kemaluannya, kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau hamba-hamba yang mereka miliki, maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tidak tercela." (Surah Al-Ma’arij : Ayat 29-30)

Bertaubatlah..masih belum terlewat. Janganlah ditangguhkan taubat itu kerana kita tidak tahu bila Allah akan mencabut nyawa kita..mungkin hari ini, mungkin esok, mungkin lusa mungkin juga sebentar lagi.. Allah amat mengasihi HambaNya yang bertaubat..