Jun 26, 2012

Formula Rumahtangga Bahagia dari Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat


1: MEMILIH PASANGAN.


"..Orang nikah perempuan kerana cantik, kerana harta, kerana keturunannya, dan kerana Agamanya (berakhlak tinggi). Nabi Muhammad SAW doa pada si suami yang isterinya berAgama (berakhlak tinggi). Nabi sendiri berdoa kepada Allah swt minta selamat, bertuahlah si suami yang isterinya berAgama (berakhlak tinggi).."




2: SUKA TIDUR DI RIBA ISTERI.


"Saya kadangkala pulang ke rumah pada jam 2 atau 3 pagi, namun isteri tidak pernah merungut dan sebaik meletakkan kepala di riba isteri, semua masalah yang menyerabutkan dalam benak seperti hilang begitu sahaja.."




3: PERBANYAKKAN SELAWAT DAN SABAR.


"Saya juga berselawat ke atas nabi sebanyak 41 kali setiap hari dan isteri perlu bersabar serta diam setiap kali melihat suami marah."




4: MENJAGA KEBAJIKAN KELUARGA & BERTAQWA KEPADA ALLAH SWT.


"suami juga perlu menjaga kebajikan makan minum dan tempat tinggal keluarga, selalu membaca al-quran serta sentiasa mendoakan kesejahteraan anak-anak.. Akibat hilang rasa taqwa kepada Allah swt, tidak menjaga Agama, curang dengan pasangan dan tidak menjaga batas pergaulan, maka ia boleh menjurus kepada penzinaan..kebanyakkan rumahtangga musnah kerana tiada nilai TAQWA dalam diri."



9 Orang Siti



9 Orang Siti yang perlu dijadikan contoh oleh wanita muslimah pada hari ini. Mereka semua adalah:
1) Siti Khadijah r.a.
  • Beliau merupakan isteri Rasulullah s.a.w yang melahirkan anak-anak Rasulullah, setia dan menyokong Rasulullah walaupun ditentang hebat oleh orang-orang kafir dan musyrik, menghantarkan makanan kepada Baginda ketika Baginda beribadat di Gua Hira’.
2) Siti Fatimah r.a.
  • Anak Rasulullah yang tinggi budi pekertinya. Sangat kasih dan setia kepada suaminya Ali karamallahu wajhah walaupun Ali miskin. Tidur berkongsikan satu bantal dan kadang-kadang berbantalkan lengan Ali. 
3) Siti Aishah r.a.
  • Beliau isteri Rasulullah yang paling romantik. Sanggup berkongsi bekas makanan dan minuman dengan Rasulullah. Di mana Nabi s.a.w minum di situ beliau akan minum menggunakan bekas yg sama.
4) Siti Hajar
  • Isteri Nabi Ibrahim yang patuh kepada suami dan suruhan Allah. Sanggup ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim atas suruhan Allah demi kebaikan. Berjuang mencari air untuk anaknya Nabi Ismail (Pengorbanan seorang ibu mithali).
5) Siti Mariam
  • Wanita suci yang memang pandai menjaga kehormatan diri dan mempunyai maruah yang tinggi sehingga rahimnya dipilih oleh Allah s.w.t untuk mengandungkan Nabi Isa.
6) Siti Asiah
  • Isteri Firaun yang tinggi imannya dan tidak gentar dengan ujian yang dihadapinya daripada Firaun Laknatullah.
7) Siti Aminah
  • Wanita mulia yang menjadi ibu kandung Rasullullah. Mendidik baginda menjadi insan mulia.
8 ) Siti Muti’ah
  • Isteri yang patut dicontohi dan dijanjikan Allah syurga untuknya kerana setianya kepada suami, menjaga makan minum, menyediakan tongkat untuk dipukul oleh suaminya sekiranya layanannya tidak memuaskan hati, berhias dengan cantik untuk tatapan suaminya sahaja.
9 ) Siti Zubaidah
  • Wanita kaya dermawan yang menjadi isteri Khalifah Harun Al-Rashid. Sanggup membelanjakan semua hartanya untuk membina terusan bagi kegunaan orang ramai hanya niat kerana Allah s.w.t.
Semoga kita mencontohi peribadi mereka dan mengambil pengajaran untuk mendidik isteri dan anak-anak perempuan kita, Insyallah.

Jun 22, 2012

~AnTaRa Dua CiNTa~





apa yang ada jarang disyukuri
apa yang tiada sering dirisaukan
nikmat yang dikecap baru kan terasa bila hilang
apa yang diburu timbul rasa jemu
bila sudah di dalam genggaman

dunia ibarat air laut
diminum hanya menambah haus
nafsu bagaikan fatamorgana
di padang pasir

panas yang membahang disangka air
dunia dan nafsu bagai bayang-bayang
dilihat ada ditangkap hilang

Tuhan.. leraikanlah dunia
yang mendiam di dalam hatiku
kerana di situ tidak ku mampu
mengumpul dua cinta
hanya cintaMu ku harap tumbuh
dibajai bangkai dunia yang kubunuh


Jun 21, 2012

Perkongsian artikel: SAYA BERMIMPI RUPANYA


SAYA BERMIMPI RUPANYA
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Semalam saya ditabalkan dengan dengan satu pertabalan yang hebat. Saya diberikan mahligai yang mewah yang dipenuhi harta dan makanan yang jenuh. Di kelilingi wanita-wanita cantik yang bersedia menyerahkan tubuh dan melayan kehendak saya. Saya pun menjamah makanan yang sedap itu dan menikmati wanita-wanita yang jelita tersebut. Tiba-tiba saya terdengar bunyi pintu yang ditutup.
Saya menoleh, tiba-tiba saya lihat bilik saya sangat sempit jika dibandingkan kepada saiz mahligai yang indah itu. Katil saya hanya ‘single size’ yang cukup muat, tidak dapat dibandingkan keindahan katil mahligai saya. Saya bersendirian, tanpa wanita gebu dan jelita manja. Keindahan istana hanya tinggal buku-buku yang berselerakan di atas sebuah meja yang dihiasi sebuah komputer. Bunyi-bunyi merdu suara dara jelita telah bertukar menjadi bunyi gerakan rakan fellow akademik Pakistan yang tinggal bersebelahan bilik saya.
Saya lihat tubuh saya tidak lagi dihiasi pakaian yang hebat menawan, sebaliknya hanya baju-T biasa dan berkain pelikat melayu. Saya bangun menjenguk ke tingkap, akhirnya saya sedar saya masih lagi di Broad Street, Oxford. Saya hanya seorang fellow di Oxford Centre for Islamic Studies. Seorang musafir yang bersendirian. Mahligai sementara saya sudah tiada. Wanita-wanita jelita yang dapat saya tiduri dengan ‘percuma’ tanpa proses nikah sudah pergi. Makanan terhidang yang lazat-lazat juga sudah hilang. Hanya ada air sejuk dan beberapa kotak makanan segera seorang musafir hidup. Saya bermimpi rupanya.
Begitu cepat episodnya tamat. Saya mencium tangan saya, apakah masih ada kesan bau makanan, ataupun wanita yang dipegang. Ternyata tiada. Hanya bau kertas-kertas yang dipegang sebelum tidur. Semuanya sudah hilang dan berakhir. Saya mesti bangun melakukan kembali tugasan seorang insan musafir seperti sebelumnya. Rakan saya juga tidak tahu bahawa saya sudah bergelar maharaja yang besar sebentar.
Demikianlah Dunia!
Demikianlah dunia ini. Ia bagaikan mimpi. Dalam mimpi itu kita mungkin ditabal dan diberikan pelbagai kehebatan harta, nama dan gelaran. Namun, itu semua akan berakhir. Apabila sampai detik roh dicabut dari jasad, semuanya bagaikan mimpi tadi. Tiada lagi nama yang hebat, harta ataupun gelaran. Hanya yang tinggal hakikat nilai seseorang insan di sisi Tuhannya. Allah mengingatkan kita tentang hakikat ini dalam al-Quran dengan firmanNya(maksudnya):
“Dan Demi sesungguhnya, kamu tetap datang kepada Kami (pada hari kiamat) dengan bersendirian, sebagaimana Kami jadikan kamu pada mulanya; dan kamu tinggalkan di belakang kamu apa yang telah Kami kurniakan kepada kamu; dan Kami tidak melihat beserta kamu penolong-penolong yang kamu dakwa bahawa mereka ialah sekutu-sekutu (bagi Allah) dalam kalangan kamu. Demi sesungguhnya, telah putuslah perhubungan antara kamu (dengan mereka), dan hilang lenyaplah daripada kamu apa yang dahulu kamu dakwa” (Surah al-An’am: 94).
Segala gelaran dan kebesaran insan akan hilang pada saat dia dianugerahkan darjah pingat ‘kematian’ oleh Malaikat Maut. Segalanya bagaikan mimpi. Segala kenikmatan itu hilang. Bahkan, ada insan yang segala kepahitannya pula bagaikan mimpi. Hilang dari pandangan dan rasa. Hilang bagaikan debuan kisah yang berterbangan ke udara. Nabi s.a.w menceritakan tentang keadaan ahli neraka dan syurga. Sabda baginda:
“Pada Hari Kiamat dibawa seorang penduduk dunia paling nikmat kehidupannya yang menjadi orang ahli neraka. Dia dicelup ke dalam neraka satu celupan sahaja, kemudian dia ditanya: “Wahai anak Adam, pernah engkau melihat kesenangan? Pernah engkau mendapat kenikmatan? Jawabnya: “Tidak! Demi Allah, wahai Tuhanku!”.
Lalu dibawa seorang penduduk dunia yang paling derita kehidupannya yang menjadi ahli syurga. Dia dicelup ke dalam syurga dengan satu celupan sahaja, kemudian dia ditanya: “Wahai anak Adam, pernahkah engkau melihat penderitaan? Pernahkah engkau mengalami kesusahan? Jawabnya: “Tidak! Demi Allah, wahai Tuhanku!. Aku tidak pernah melihat penderitaan. Aku tidak pernah mengalami kesusahan”. (Riwayat Muslim).
Ya! Hilang bagaikan mimpi yang tidak muncul lagi pada rasa. Mungkin ia kekal pada ingatan, tetapi tidak pada perasaan. Azab yang menghapuskan nikmat, ataupun nikmat yang menghapuskan azab.
Inilah Kembara
Hidup adalah kembara. Kita merentasi banyak tempoh dan episod. Ada masa kita susah melalui hujan yang lebat ataupun panas yang terik. Ada masa kita sukar mencari tempat berteduh. Ada masa kita dialu-alukan. Ada masa kita makan enak. Ada masa kita hanya makan sekadar untuk meneruskan hidup. Sehingga saat kita sampai ke tempat tuju. Rumah kita yang asal. Harapnya, di sana kenikmatan yang sebenar.
Demikian hidup ini. Ia persis seperti kembara. Kembara hidup menuju kehidupan hakiki. Ada masa kita dimuliakan. Ada masa kita dihina. Ada masa kita diangkat. Ada masa kita dijatuhkan. Hal itu berterusan sehingga kita sampai ke destinasi akhir perjalanan hidup ini. Maut! Harapnya, di sanalah kita perolehi nikmat yang hakiki.
Maka Nabi s.a.w mengingatkan kita tentang hakikat ini. Kata ‘Abdullah bin ‘Umar r.a:
“Rasulullah s.a.w memegang bahuku lalu bersabda: “Jadilah engkau di dunia ini bagaikan orang asing, atau seorang musafir”. (Riwayat al-Bukhari). Ya, inilah yang al-Quran tegaskan: (maksudnya) “dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah hiburan dan permainan; dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat itu)”. (al-‘Ankabut: 64).
Apa yang penting, dalam kehidupan seorang insan itu, dia sentiasa peka dengan hakikat dirinya dengan tuhannya. Hanya Allah dan diri kita sahaja yang tahu bagaimana hubungan diri kita ini dari segi kerohaniannya. Segala amalan yang zahir ditentukan oleh kadar kehalusan nurani rohani insani yang ada dalam naluri seorang hamba Allah.
Manusia boleh menilai, tetapi akhirnya kedudukan nilai spiritual seseorang insan jua yang dihitung di sisi Tuhan. Pakaian kebesaran, pangkat ketinggian, kuasa dan kedudukan adalah ciptaan mimpi insan dalam kehidupan di maya pada ini. Ia akan berakhir sepantasnya dengan satu sentapan maut. Hijab antara kenikmatan hidup di dunia dengan kematian yang membawa kepada kehidupan hakiki itu bagaikan sehelai kulit bawang yang nipis. Apabila ia ditembusi, kita pun boleh berkata: “Aku rupanya bermimpi”.

Jun 8, 2012

Jujur mendapat bahagia, Dusta menjemput derita


Allah SWT berfirman dalam Al-Quran yang bermaksud:
"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah
dan jadilah kalian bersama orang-orang yang benar (jujur)"
[At-Taubah: 119]

Ayat tersebut memerintahkan kepada orang-orang beriman agar sentiasa bertakwa kepada Allah, dan berlaku jujur bersama-sama dengan orang-orang yang jujur. Sikap jujur merupakan sifat terpuji yang wajib menjadi hiasan bagi setiap peribadi muslim. 

Kejujuran merupakan senjata ampuh dalam menjalani hidup dan kehidupan ini. Dengan sikap jujur, seseorang akan mendapat simpati dan penghargaan tersendiri di tengah-tengah kehidupan bermasyarakat. Kita menyedari
bahawa sikap jujur itu akan membawa ke arah kebaikan, dan kebaikan akan menghantarkan pelakunya menuju syurga. Orang yang bersikap jujur akan dicatat di sisi Allah sebagai hamba yang bijak.

Sebaliknya, perbuatan curang akan membawa ke arah keburukan, sementara keburukan akan menjerumuskan ke jurang neraka. Maka jangan sampai kita mendapat gelaran di sisi Allah sebagai hamba yang dusta. 
(sekadar gambar hiasan)

Rasulullah SAW mengisyaratkan hal ini dalam sabdanya:
"Sesungguhnya sikap jujur itu membawa kepada kebaikan dan kebaikan itu membawa ke syurga. Seseorang yang membiasakan diri berlaku jujur, nescaya akan dicatat di sini Allah sebagai hamba yang jujur. Dan sesungguhnya sikap dusta itu akan membawa kepada keburukan dan keburukan itu sungguh akan membawa ke neraka. Seseorang yang membiasakan diri berlaku dusta nescaya akan dicatat di sisi Allah sebagai pendusta" HR Bukhari dan Muslim


Sikap jujur sungguh akan menciptakan kedamaian dan ketenteraman pada jiwa seseorang, dan menimbulkan suasana teduh dalam keluarga dan masyarakat. Sekiranya setiap insan beriman berlaku jujur, sehingga semua mukmin di seluruh dunia ini mendapat gelaran dari sisi Allah sebagai hamba yang jujur, nescaya kehidupan dunia ini akan terasa sejuk dan damai, terutama sekali di kalangan mukminin sendiri.

Tetapi apalah jadinya seandainya semua manusia berlaku dusta, sehingga semuanya mendapat gelaran di sisi Allah sebagai pendusta. Nescaya tiap-tiap individu menjadi resah, kehidupan dunia kacau bilau. Tiada ucapan yang dapat dipercayai dan tiada lagi perilaku yang terkawal secara wajar.Oleh kerana itu, setiap mukmin hendaknya mampu mengendalikan diri untuk tidak berbuat dusta. Kerana bagaimanapun juga perbuatan dusta itu akan menimbulkan kebimbangan pada diri sendiri dan keragu-raguan pada orang lain.

Orang lain akan sukar mempercayai ucapan dan tindakan seseorang yang telah terbiasa
berlaku dusta. Rasulullah SAW mengisyaratkan hal ini dalam sabdanya:
"Tinggalkanlah hal-hal yang meragukanmu dan pilihlah hal-hal yang tidak meragukanmu.
Sesungguhnya kejujuran itulah yang mendatangkan ketenangan, sedangkan kebohongan
akan mendatangkan keraguan" HR At-Tarmizi

Berdasarkan hadis tersebut, kejujuran adalah sikap terpuji yang akan menenangkan
setiap jiwa. Maka sikap jujur seharusnya menjadi hiasan bagi perilaku setiap mukmin.
Sedangkan dusta dan kebohongan akan membuat keraguan pada diri sendiri dan juga orang lain. Maka sikap dusta harus ditinggalkan jauh-jauh dari diri setiap mukmin.

Kejujuran, disamping akan menenangkan jiwa dan hati setiap pelakunya juga merupakan
amal terpuji yang tentunya akan mendapat imbalan berupa pahala. Sedangkan kedustaan
adalah perbuatan tercela yang mendatangkan dosa, dan tentunya akan mendapat imbalan berupa seksa pedih. Sungguh perbuatan dusta hanya akan menyusahkan hati setiap pelakunya. Ia akan menggores lubuk hati yang paling dalam, berupa goresan yang
membimbangkan.

Goresan itu tak akan hilang begitu saja, sekalipun pelakunya berubat ke mana-mana dan
banyak orang yang memberi fatwa kepada dirinya. 

Rasulullah SAW bersabda:
"Kebaikan adalah segala sesuatu yang menenangkan jiwa dan menenterami hati. Sedangkan
dosa ialah segala sesuatu yang menggores jiwa dan membimbangkan perasaan (hal ini tetap
terpateri dalam perasaannya) sekalipun orang lain banyak berusaha memberikan fatwa kepadamu
dan kamu sendiri telah berusaha untuk melupakannya" HR Ahmad

Mudah-mudahan Allah SWT sentiasa berkenan memberikan sinar terang kepada kita, sehingga kita tetap bersikap jujur dan mampu meninggalkan perbuatan dusta.

-ihsan dari: coretanpenahati.blogspot.com-