Jul 12, 2011

BERSIH2.0: suatu perjalanan dari rakyat untuk rakyat



Bismillah wa syukrillah, syukur yang tidak terhingga saya panjatkan kepada Allah swt kerana dengan segala Kekuatan dan KekuasaanNya saya diberikan keizinan melakar secebis dua kenangan menyertai perhimpunan rakyat BERSIH 2.0 yang berlangsung pada tarikh keramat 9 Julai 2011 (sabtu). Walaupun keadaan tapak kaki yang agak bengkak (akibat terjatuh dalam lopak air yang besar) serta pedih dari luka melecet di jari kaki itu, saya merasai akan nikmatnya fight for freedom! (^,^)v


saya ingin mengambil kesempatan untuk mencatatkan dan berkongsi serba sedikit pengalaman dan kronologi menjadi salah seorang peserta perhimpunan BERSIH 2.0 2011 kali ini. Mudah-mudahan ianya dapat memberikan suntikan semangat buat semua yang membaca dan meneguhkan pendirian kita untuk terus berani menyatakan kebenaran dan keadilan. Malaysia perlukan pembaharuan kerana sudah lama sistem pilihanraya negara kita ini pincang dan tidak telus..




JUMAAT (8 JULAI 2011)


9.00 pagi: selepas habis menyiapkan tugasan di rumah, saya bersiap-siap pula untuk menyediakan segala kelengkapan dan keperluan untuk ke BERSIH 2.0. Sempat juga saya search google map untuk mencari jalan pintas dan berisiko rendah untuk memasuki bandaraya Kuala Lumpur. Tuala kecil, limau nipis, air mineral sebotol, garam, kasut serta beberapa keperluan lain disediakan. 


11.30 pagi: mula bertolak ke tempat berkumpul iaitu di salah sebuah rumah sahabat wonderpets saya. Alhamdulillah, ayah & bonda tersayang memberikan keizinan dan mendoakan keselamatan saya. 


12.30 pagi: menanti beberapa lagi ahli wonderpets yang belum tiba. Saya membantu kak aimi menyusun dan mengemas barang-barang supaya dapat dimasukkan ke dalam 2 beg bagasi sahaja untuk 7 orang. Kami akan menginap di salah sebuah hotel di Kuala Lumpur. Hotel biasa je, sekadar boleh untuk melepaskan penat dan tempat utk solat sementara menanti hari perhimpunan pada keesokkan harinya. 


1.00 tengahari: setelah semuanya ok, saya mengetuai bacaan doa supaya Allah memberikan kemudahan di sepanjang perjalanan kami. kami bertujuh pun memulakan perjalanan.


4.00 petang: Alhamdulillah, kami bertujuh selamat tiba di tempat hotel penginapan kami. Saya dan kak faizah menanti pula ketibaan seorang lagi ahli wonderpets yang akan tiba dengan menaiki monorel. Beliau terus bergerak sejurus selepas habis bekerja.


8.00 malam: Saya dan kak faizah turun dari bilik hotel untuk ke stesen monorel terdekat bagi mendapatkan seorang lagi ahli wonderpets kami. Alhamdulillah, beliau tiba dengan selamat. Sepanjang perjalanan balik ke bilik hotel, saya melihat beberapa orang di pintu masuk hotel sentiasa memerhatikan pergerakkan saya dan sahabat saya. Saya syak mereka adalah SB daripada gaya dan cara mereka memerhatikan kami.


11.30 malam: saya menerima sms daripada salah seorang rakan pemuda yang sama-sama menyewa bilik di hotel tersebut. sms nya berbunyi lebih kurang begini; "hati-hati, polis akan buat serbuan malam ini. pastikan tiada unsur kuning. semoga Allah menjaga kalian" 


11.50 malam: Pintu bilik kami diketuk dengan kuatnya. macam nak roboh je pintu bilik tu. saya melihat melalui lubang pintu, terdapat beberapa polis lelaki di luar bilik. saya arahkan kesemua rakan2 wonderpets saya untuk memakai tudung dan tutup aurat masing2. Saya meminta kepada pihak polis untuk tunggu seketika untuk berikan kami masa utk pakai tudung. pihak polis setuju.


12.00 malam - 12.30 malam: sesi soal jawab berlaku diantara saya dan pihak polis. Saya dikerumuni oleh 10 orang polis lelaki. 10 orang melawan 1. adil kah? 4 daripada mereka berpakaian seragam polis dan selebihnya berpakaian biasa. SB (siput babi) kot. Salah seorang polis yang menyoal siasat saya meminta kad pengenalan saya dan rakan2 wonderpets yang lain. Saya tunjukkan kad2 pengenalan tersebut kepada beliau dan pada masa itu beliau cuba untuk rampas. Saya bertegas dan saya cuba katakan kad pengenalan adalah HAK KAMI. encik tidak berhak untuk rampas. kemudian, beliau terus NAIK HANTU dan MEROYAN lalu berkata; 


"Saya POLIS!!! saya ada HAK NAK TANGKAP AWAK!! TOLONG SERAHKAN KAD PENGENALAN ITU!!" beliau menjerit sekuat-kuatnya betul2 di depan muka saya. 


"cis, pakcik ni, tersembur2 air liur, ingat aku pekak ke ape?" saya bercakap di dalam hati. :-)


"ok, tenang-tenang encik...sebelum itu, saya nak tengok kad kuasa encik-encik ini boleh?" saya cuba memberikan kerjasama. 2 orang daripadanya mengeluarkan kad kuasa dan menunjukkan kepada saya. Lagi 4 orang yang berpakaian biasa terus menjauhi saya, mungkin risau takut saya meminta agar mereka menunjukkan kad kuasa.


"ok, terima kasih. sekarang ini saya nak bertanya. encik nak buat apa ye dengan kad pengenalan kami?" saya bertanya dengan penuh berhemah kerana cuba untuk mengawal perasaan marah.


"kami nak tulis nama dan alamat kamu-kamu semua untuk rekod kami. Kami tidak percaya kamu datang ke sini bukan bertujuan untuk ke perhimpunan haram esok. Ini tugas kami, harap kamu beri kerjasama."


"ok, silakan." saya pun berikan satu persatu kepada polis yang berpakaian biasa yang ditugaskan utk menulis itu.


setelah itu, datang 2 orang polis wanita yang ditugaskan untuk masuk ke dalam bilik kami untuk membuat sesi semakan dan geledah beg-beg kami. Setelah mendapati bilik kami TIADA LANGSUNG UNSUR2 KUNING melainkan langsir hotel yang berwarna kuning kecoklatan, mereka pun keluar daripada bilik dan beredar.


setelah mereka beredar daripada bilik, shbt saya terus menutup pintu bilik. masing2 terkedu dan terdiam. Saya yang hampir2 tiada kekuatan menangis rebah di sisi kak aimi. Syukur kepada Allah kerana meminjamkan sedikit kekuatan untuk berhadapan dengan orang2 suruhan regim umno bn ini.. Saya seboleh-bolehnya cuba untuk tidak menampakkan diri lemah di hadapan shbt2 yang lain yang memerlukan kekuatan saya..tetapi malam itu tangisan ini tidak mampu ditahan lagi..


12.45 malam - 1.00 pagi: 15 minit kemudian, 2 orang polis wanita dan seorang polis lelaki sekali lagi datang ke bilik kami dan meminta agar kami menunjukkan kereta kami. Mereka yakin kami cuba sorokkan barang 'kuning' di dalam kereta. Saya dan kak aimi turun dan menunjukkan kereta kami. ternyata TIADA APA-APA yang dijumpai di dalam kereta kami. Saya melihat raut wajah kehampaan yang ditunjukkan oleh polis lelaki tersebut. saya dan kak aimi hanya tersenyum.


SABTU (9 JULAI 2011)


5.30 pagi - 12.00 tengahari: kami terperangkap di dalam bilik hotel. Polis telah mengepung di sekeliling hotel dan di lobi hotel. Kalau kami keluar je, memang confirm akan ditangkap..lagi-lagi bila tengok kami masing-masing berpakaian muslimah bertudung labuh, memakai beg galas, pakai kasut sukan n etc... Ya Allah, kuatkan kami... kami tidak berhenti-henti berdoa serta membaca qunut nazilah. Sepanjang terkurung di dalam bilik hotel, saya sempat bertanyakan khabar sahabat2 lain yang turut serta dalam perhimpunan aman ini. Ada yang terperangkap di kl central, ada yang ditahan di stesen komuter dan ada juga yang sudah selamat berada di masjid negara. Saya dan shbt2 yang berada di hotel ini hanya mampu berdoa dan terus berdoa..


1.00 petang: saya mendapat sms daripada abang saya yang juga menyertai perhimpunan ini. Beliau menyuruh saya dan sahabat2 wonderpets utk turun secara berdua-dua... Setelah menyusun strategi, kami sama-sama mengambil wuduk dan kemudian bersiap dan berdoa supaya Allah memudahkan perjalanan kami. Saya dan Najah berjalan berdua. Sejujurnya, saya sendiri berasa sangat risau..sebab saya tidak familiar dengan jalan2 di sekitar kawasan tersebut. Tetapi saya yakin Allah akan beri pertolongan. Alhamdulillah, saya ternampak 2 orang pemuda yang juga sedang berjalan menuju ke suatu tempat. Gaya mereka itu saya baca memang peserta BERSIH ni..hehehe.. Saya dan najah pun follow mereka.


1.30 petang: kami tiba di depan pusat pakaian jakel. tiba-tiba kelihatan orang ramai berlari-lari ke arah kami. rupa-rupanya polis sedang menembak gas pemedih mata ke arah orang ramai yang sedang berkumpul. Memang 'best' la..saya datang-datang je dapat hidu bau gas pemedih mata.. :-) saya dan najah tiba di depan masjid jamek. Kami berjumpa kak faizah dan kak min di sana. Kami ingat nak solat sekejap di masjid tetapi rupa-rupanya polis halang untuk solat di sana.


1.50 petang: perarakan dari masjid jamek bermula. Kami decided berhenti solat di mana-mana lokasi yang akan kami berhenti nanti. Kalau kat tepi jalan pun tepi jalan lah...


2.30 petang: di pertengahan jalan menuju ke stadium, kami dihidangkan lagi sekali dengan gas pemedih mata. Alhamdulillah, hujan turun dengan lebatnya. Saya terpisah dengan najah dan kak faizah. Saya bertawakkal dan beranggapan mereka telah pun selamat menuju ke stadium. 


3.00 petang: tiba di stadium. Hujan masih lebat. Alhamdulillah, terjumpa kesemua 8 sahabat wonderpets saya di sini..Pintu stadium tidak dibuka. memang saja nak bagi kami duduk kat luar stadium dan berarak agaknya. Pastu nanti cakap kami suka susahkan semua orang sebab berarak. tapi siapa yang tak bagi masuk stadium? sambil menunggu boleh masuk ataupun tidak ke stadium, kami pun berehat sebentar di tepi jalan stadium sambil makan aiskrim. Memang cool lah! hehehe..makan aiskrim dikala-kala hujan..


3.10 petang: Dr. hatta ramli membawa kami berarak ke KLCC kerana kami tidak dibenarkan masuk ke stadium. Wahhh...memang berjalan sakan kami (^,^)v... di pertengahan jalan, terserempak dengan wartawan daripada tv3. Yang best tu, semua orang yang lalu je depan wartawan tv3 tu akan menjerit; "PENIPU, PENIPU, PENIPU!!"


sampai di suatu simpang, dengan tiba-tiba sahaja polis menembak gas pemedih mata ke arah crowd yang sedang berjalan..masa tu yang saya ingat, saya berlari sambil pegang tangan najah dan yang paling tak boleh dilupa, 1 peluru gas pemedih mata betul-betul landing kat depan saya...memang makan asap sepuas-puasnya lah saya waktu tu.. saya terus lari mendapatkan ruang udara..sakit dan pedihnya tu hanya Allah sahaja yang tahu.. kepada polis yang tembak gas pemedih mata tu, harap awak jawab lah nanti di hadapan Allah ye...


keadaan jadi kelam-kabut seketika. Alhamdulillah, masa tu pie (sahabat dppkl) terjumpa kami yang sedang pening2 lalu dia berikan kami garam. terima kasih kat pie.. :-) kemudian, dr. hatta mengarahkan lagi kesemua peserta untuk terus berjalan maju ke hadapan..klcc menjadi tempat berkumpul. Akhirnya, around 3.40 petang macam tu, kami tiba di dataran klcc... Subhanallah, ramainya umat manusia di sana... rasa seperti berada di dataran tahrir je ms tu.. Bahagia rasanya bila melihat sahabat2 senegara sendiri turun bersama-sama memperjuangkan keadilan dan kebenaran.. Di celahan orang yang super-duper ramai itu, kami mengambil kesempatan untuk solat di bahagian tepi jalan raya.. Alhamdulillah, seusai sahaja solat, saya sempat mendengar beberapa ucapan pemimpin terutamanya dr. hatta ramli dan ust nasharudin. Tiba-tiba, kedengaran siren polis dengan kuatnya...orang ramai bertempiaran lari..polis buat hal lagi sekali..mereka melepaskan tear gas dan kali ini mereka mengejar para peserta perhimpunan untuk ditangkap.


dalam keadaan orang yang terlalu ramai di klcc itu, memang rasa nak pengsan juga lah..semasa keadaan yang chaos itu, saya terus terpisah daripada sahabat2 saya... ketika itu, di hadapan saya ada seorang pakcik dan anak beliau (saya rasa lah) juga berlari daripada terkena gas pemedih mata. Dalam fikiran saya ketika itu, kalau dah tak larat nak lari, saya redha je kena tangkap..dengan bantuan Allah, tiba-tiba di hadapan  bangunan avenue k, saya terlihat ada pakcik guard bangunan serta beberapa orang peserta bersih yang tolong angkat pagar bangunan itu.. saya pun terus menuju ke dalam bangunan itu. Pakcik dan anak beliau tadi pun lari masuk ke bangunan tersebut. Kemudian, saya terlihat pakcik tu tiba-tiba rebah dan pengsan.. terus tidak sedarkan diri.. Ya Allah, kesiannya... saya ingin membantu, tetapi saya melihat di situ sudah ramai muslimin yang membantu pakcik tersebut. Saya dan muslimat2 yang lain diarahkan untuk teruskan bergerak... Semoga Allah melindungi pakcik tersebut.


Itulah diantara serba sedikit pengalaman yang saya sempat catatkan...ada juga beberapa pengalaman seperti melompat dari longkang yang besar sehingga menyebabkan kaki kejang :-) (mujur kak aimi ada), pengalaman lari sambil tidak memakai kasut dan sebagainya... Alhamdulillah, saya dan shbt2 wonderpets pulang dengan selamat dan tiba di rumah masing2 sekitar jam 10 malam..


Tapi, setelah membaca berita keesokkan harinya, saya berasa terkejut dengan berita kematian seorang pakcik sms 'pertempuran' di klcc pada hari perhimpunan bersih. Dan lebih mengejutkan adalah beliau itulah pakcik yang saya jumpa di bangunan avenue k yang pengsan dan rebah itu.. Ya Allah, Engkau berkatilah beliau (Almarhum Baharudin Ahmad) dan masukkanlah beliau di kalangan para syuhada'..


Mungkin pengalaman saya ini hanyalah pengalaman yang biasa-biasa sahaja. ada lagi sahabat2 dan peserta2 himpunan bersih yang diuji lebih hebat dan lebih dasyat daripada saya. Sesungguhnya mereka lebih berjiwa kental dan lebih kuat daripada saya yang tidak seberapa ini..


Apa yang saya harapkan adalah walau siapapun kita, kita JANGAN JADI MANUSIA yang takut untuk menegakkan kebenaran. Jadilah agen perubah! Anak muda kena berani menegakkan keadilan dan kebenaran. Saya menulis ini bukan dengan niat untuk menanamkan rasa kebencian terhadap umno bn, polis dan sebagainya. Tetapi saya ingin anda semua lihat kebenaran di depan mata dan jangan menjadi golongan yang denial (sentiasa menafikan kebenaran walaupun di depan mata dek kerana mata telah dikaburkan dengan keselesaan dan kesenangan hidup semata-mata). Untuk akhirnya, saya ingin berkongsikan 1 video yang sangat memberikan kesan dan memberikan bukti-bukti yang nyata tentang apa yang telah berlaku semasa perhimpunan bersih 2.0 yang lalu.. lihatlah dengan mata hati dan jangan lupa daftar mengundi untuk PRU-13 yang akan datang ini!


~EYAMUJAHIDAH~




"KEZALIMAN, biarpun nampak kuat tetapi ia tetap akan kalah. KEBENARAN biarpun nampak lemah tetapi ia tetap akan beroleh KEMENANGAN.." -Assyahid Sayyid Qutb