Feb 3, 2011

Gunung Berapi Merapi, Jogjakarta: sudut pandang geologi & peringatan buat insan bergelar manusia.

Ia senyap...
dan tiba-tiba tanpa amaran ia menghamburkan segala isi panasnya...
itulah gunung berapi...
antara fanomena bencana alam yang sangat dasyat...


Alhamdulillah, Pada 12 januari 2011 (rabu) bersamaan 8 Safar 1432H yang lalu, saya telah berkesempatan untuk menghadiri satu ceramah geologi atau lebih dikenali sebagai geology technical talk yang diadakan di Bilik mesyuarat jabatan geologi, UKM. Ceramah ini telah dibentangkan oleh dua pensyarah jabatan geologi iaitu Prof. Madya Dr. Wan Zuhairi dan Prof. Dr. Hamzah Mohamad di hadapan kesemua warga geologi dan menerima kunjungan tetamu kehormat, iaitu Pengarah Jabatan Mineral & Geosains Malaysia (JMG), Dato' Yunus Abd. Razak. 


Pembentang pertama adalah daripada Prof. Madya Dr. Wan Zuhairi dengan tajuknya Aktiviti Volkanik Indonesia: Gunung Merapi. Manakala pembentang kedua adalah Prof. Dr. Hamzah Mohamad dengan tajuk Mineralogi dan geokimia abu Gunung Merapi. 


banyak yang saya perolehi daripada kedua-dua pembentangan tersebut dan InsyaAllah saya ingin kongsikan bersama dengan rakan-rakan semua. Sebahagian isi entri saya ini saya ambil daripada hasil catatan saya semasa mengikuti pembentangan tersebut, dan sebahagian lagi adalah daripada hasil pembacaan daripada beberapa lama web dan buku rujukan yang akan saya nyatakan di akhir entri ini. 


saya suka memulakan kisah gunung berapi Merapi ini dengan memetik sepotong ayat Allah swt dalam surah An-Naml.




Firman Allah swt:
وَتَرَى ٱلۡجِبَالَ تَحۡسَبُہَا جَامِدَةً۬ وَهِىَ تَمُرُّ مَرَّ ٱلسَّحَابِ‌ۚ صُنۡعَ ٱللَّهِ ٱلَّذِىٓ أَتۡقَنَ كُلَّ شَىۡءٍ‌ۚ إِنَّهُ ۥ خَبِيرُۢ بِمَا تَفۡعَلُونَ
Maksudnya: Dan engkau melihat gunung-ganang, engkau menyangkanya tetap membeku, padahal ia bergerak cepat seperti bergeraknya awan; (demikianlah) perbuatan Allah yang telah membuat tiap-tiap sesuatu dengan serapi-rapi dan sebaik-baiknya, sesungguhnya Dia Amat Mendalam PengetahuanNya akan apa yang kamu lakukan. (An.Naml: 88)


Ayat di atas ini membuktikan kepada kita bahawa Allah memberitahu tentang wujudnya teori tektonik keping di bumi. kerak bumi ciptaan Allah ini wujud dalam bentuk kepingan-kepingan yang bergerak secara berlanggar dan menjarak antara satu sama lain. hasil pergerakkan ini mewujudkan beberapa fanomena seperti gempa bumi, kewujudan gunung berapi dan sebagainya.


Terdapat juga dikisahkan dalam Al-Quran mengenai fanomena bencana alam gempa bumi dan gunung berapi. Allah menceritakan:
 فَلَمَّا جَآءَ أَمۡرُنَا جَعَلۡنَا عَـٰلِيَهَا سَافِلَهَا وَأَمۡطَرۡنَا عَلَيۡهَا حِجَارَةً۬ مِّن سِجِّيلٍ۬ مَّنضُودٍ۬ مُّسَوَّمَةً عِندَ رَبِّكَ‌ۖ وَمَا هِىَ مِنَ ٱلظَّـٰلِمِينَ بِبَعِيدٍ۬ .
Maksudnya: "Maka apabila datang (masa perlaksanaan) perintah Kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu diterbalikkan (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan kami menghujaninya dengan batu-batu dari tanah yang dibakar, menimpanya bertalu-talu. Batu-batu itu ditandakan di sisi Tuhanmu (untuk membinasakan mereka) dan Ia pula tidaklah jauh dari orang-orang yang zalim itu. (Hud: 82-83)



Jumlah keseluruhan gunung berapi yang terdapat di Indonesia adalah sebanyak 130 buah dan 45 buah gunung berapi nya adalah terletak di Pulau Jawa. Daripada 45 buah gunung berapi ini, Gunung berapi Merapi dikategorikan sebagai sangat merbahaya kerana menurut catatan kajian beberapa ahli volcanologist, gunung berapi ini mengalami erupsi (letusan) setiap 2 – 5 tahun sekali dan dikelilingi oleh kepadatan penduduk yang tinggi. 

Terdapat 2 buah gunung berapi yang paling aktif di Pulau Jawa setakat hari ini iaitu gunung berapi Klut dan gunung berapi Merapi. Gunung berapi Klut telah meletus sebanyak 30 kali letupan dan Gunung berapi Merapi sebanyak 80 kali letupan.
Gunung Merapi (ketinggian puncak 2.968 m ) adalah gunung berapi yang terletak di bahagian tengah Pulau Jawa dan merupakan salah satu gunung berapi teraktif di Indonesia. Kawasan hutan di sekitar puncak gunung Merapi menjadi kawasan Taman National Gunung Merapi sejak tahun 2004.

Gunung berapi Merapi mengeluarkan asap selama 300 hari setahun, ini bermakna hampir setiap hari ia mengeluarkan asap debu dan wap. Usia gunung Merapi dianggarkan berusia 8000 - 120 000 tahun. ada beberapa pengkaji pula menganggarkan antara 30 000 - 40 000 tahun.  dari segi mineralogi, debu gunung berapi terdiri daripada beberapa jenis mineral. berdasarkan kepada kajian yang dilakukan oleh Prof. Dr. Hamzah Mohamad, keputusan pemerhatian menerusi mikroskop binokular, debu gunung berapi Merapi terdiri daripada mineral hornblend, hematit dan feldspar. berdasarkan kepada pemerhatian menerusi kaedah thin section pula, mineral yang ditemui adalah mineral hornblend, hematit dan labradorit. Keunikkan debu gunung berapi merapi ini ialah tidak dijumpai mineral kuarza. 



Merapi merupakan sejenis gunung berapi stratovolkano (berbentuk gunung kon tinggi hasil perlapisan lava mengeras, tephra, batu apung dan abu volkanik. profil nya curam dan ia bersifat meletup (explosive). gas dan debu volkanik yang dihasilkan amat berbahaya bagi kesihatan  dan ketebalan tebu 30 cm sahaja sudah cukup untuk meruntuhkan bangunan bersaiz sederhana runtuh). Merapi juga dikategori kan sebagai a decade volcano iaitu jenis gunung berapi paling bahaya.

Akan tetapi, fakta yang mengejutkan saya dan mungkin juga akan mengejutkan rakan-rakan semua, sejumlah 1.1 juta manusia tinggal dan menetap di lereng gunung berapi Merapi ini. can you imagine that??  seumpama keselamatan dan nyawa mereka itu seperti telur di hujung tanduk. Letupan gunung berapi Merapi yang berlaku pada 26 oktober 2010 yang lalu telah mengakibatkan sejumlah 324 kematian dan pelbagai kerosakkan tanaman dan ternakan. 


Letupan Merapi telah mengeluarkan asap dan debu yang berterbangan lebih daripada 20km.Di antara langkah-langkah pencegahan Hazardeous Merapi ialah:
1) Jarak 10 km dari puncak Merapi adalah zon selamat (jika tanpa letusan).
2) Jarak 20 km dari puncak Merapi adalah zon selamat (apabila berlakunya letusan).
Kesimpulan daripada entri saya kali ini ialah, setiap kejadian bencana di muka bumi ini adalah untuk manusia berfikir dan mengambil iktibar. Allah itu Maha Berkuasa di atas tiap-tiap sesuatu.
Di sini saya lampirkan beberapa gambar selepas letupan gunung berapi Merapi untuk muhasabah bersama.















Firman Allah swt:
 إِنَّآ أَرۡسَلۡنَا عَلَيۡہِمۡ صَيۡحَةً۬ وَٲحِدَةً۬ فَكَانُواْ كَهَشِيمِ ٱلۡمُحۡتَظِرِ. وَلَقَدۡ يَسَّرۡنَا ٱلۡقُرۡءَانَ لِلذِّكۡرِ فَهَلۡ مِن مُّدَّكِرٍ۬ 
Maksudnya: Sesungguhnya Kami hantarkan kepada mereka satu pekikan (yang dahsyat), lalu menjadilah mereka (hancur) seperti ranting-ranting dan daun-daun yang pecah hancur, yang dikumpulkan oleh pemilik kandang binatang ternak. Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)? [Al-Qamar:31-32]
   Peristiwa Pompeii ( 8th-6th centuries BC)  vs  Peristiwa letusan gunung Merapi (2010)


Sumber rujukan:


1)  Geology technical talk. Prof. Madya Dr. Wan Zuhairi. Aktiviti Volkanik Indonesia: Gunung Merapi


2)  Geology techncal talk. Prof. Dr. Hamzah Mohamad. Mineralogi dan geokimia abu Gunung Merapi.



3) Andreastuti, S.D., Alloway, B.V., and Smith, I.E.M., 1997, A detailed tephrostratigraphy at Merapi volcano, central Java: Implication for eeruption prediction and hazard assessment, in Program and Abstract, 2nd Merapi Decade Volcano International Workshop, Yogyakarta, VSI-UNESCO, p. 26.

4)  Purbawinata, M.A., Ratdomopurbo, A., Sinulingga, I.K., Sumarti, S., Suharno, 1996, Merapi volcano a guide book: Volcanological Survey of Indonesia, Bandung, 64 p.

5)  Suryo, I. and Clarke, M.C.G., 1985, The occurrence and mitigation of volcanic hazards in Indonesia as exemplified at the Mount Merapi, Mount Kelut, and Mount Galunggung volcanoes: Q.J. Eng. Geol. London, v. 185, p. 79-98. 



6) http://news.nationalgeographic.com/news/2010/10/photogalleries/101026-indonesia-mount-merapi-volcano-eruption-world-science-pictures-photos/.


7) http://www.quranexplorer.com/quran/.


No comments: